Thursday, August 4, 2011

Kenapa Tidak Serasi?

Credit to: Ahmad Baei Jaafar
 
  Apabila perkahwinan sudah menjangkau enam bulan, salah dan silap sesuatu  pasangan akan mula diungkit, padahal sebelumnya dibiarkan sahaja, konon masih  baru. Lalu suami yang tidak senang hati dengan sikap isteri, cuba  menasihati isterinya begitu dan begini. Percayalah ketika itu, nasihat suami  sudah tidak bernilai lagi, sebaliknya isterinya menjawab, “dulu tak salah,  kenapa baru sekarang salah?”
 
  Ternyata pasangan itu memang sudah tidak serasi. Tetapi demi cinta, mereka  tetap mengharungi rumah tangga walaupun dalam keadaan tidak selesa. Walaupun  dalam tidak selesa itu, mereka tetap menikmati saat-saat kebahagiaan rumah  tangga. Anihnya dalam keadaan benci, isteri tetap mengandung dan mereka terus  dikurniakan anak.
 
  Sebab itulah kadang-kadang, kita rasa hairan dan terkejut apabila dalam  diam-diam pasangan itu dikatakan bercerai. Lalu orang ramai pun berkata,  “kenapa la bercerai, kesian anak terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa.”  Kita hairan kenapa setelah lama berkahwin, masih tidak temui serasinya.
 
  Itu kata kita, tetapi sebenarnya mereka berdua sudah lama menderita. Namun  hati kecil mereka masih ada harapan. Maka walaupun menderita, hidup masih  diteruskan di samping mencari penawarnya. Tetapi apabila sampai kemuncak  masalah dan penyelesaian masih tidak ditemui, perceraian terpaksalah dipilih.
 
  Sebenarnya mereka sudah menyedari ketidakserasian itu sejak awal pernikahan  mereka, namun mereka gagal untuk merawatnya dengan baik. Tetapi percayalah  isu ini masih belum terlewat untuk dirawat.
 
  Sebenarnya isu tidak serasi ini hanya ibarat retak mencari belah. Sebab itu  jika pasangan yang terlibat tidak dapat mengesan ketidakserasaian itu lebih  awal, perceraian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi, beruntunglah  mereka yang berusaha mencari punca penyebabnya.
 
  Sebenarnya punca tidak serasi itu bermula daripada tidak serasinya iman  pasangan tersebut. Mungkin suami kuat imannya, tetapi isteri lemah imannya.  Apatah lagi kalau kedua-dua mereka tidak ada iman. Hakikatnya mereka tidak  meletakkan Allah di dada mereka.
 
  Percayalah mereka yang ada iman, pasti akan takut kepada Allah, iaitu takut  untuk melakukan dosa, takut untuk melakukan zalim kepada orang lain apatah  lagi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga kalau isteri beriman, sudah pasti  dia akan takut untuk menderhakai suaminya, dan akan takut untuk meminta cerai  daripada suaminya.
 
  Selain itu pasangan yang beriman itu akan melakukan solat lima waktu dan sunat-sunatnya. Malah mereka  yang taat solat, akan berasa tenang sewaktu berhadapan dengan pasangan. Malah  jika sesekali mereka berkesempatan melakukan solat berjemaah, pasti hati  pasangan itu mudah disatukan Allah.
 
  Percayalah apabila pasangan itu boleh berasa takut kepada Allah, dan dapat  pula mendirikan solat dengan sempurna, bibit perceraian tidak akan terjadi.  Keserasian pasti akan diperoleh oleh pasangan tersebut semasa berkahwin  bahkan sampai bila-bila.
  Sungguh pun begitu, jumlah golongan ini tidak ramai. Di sana sini kita temui mereka yang lemah  iman, buktinya ramai yang tidak melakukan asolat dengan sempurna, dan ramai  juga suami yang takut kepada isteri. Mereka ini kalau pun kelihatan seperti  serasi, tetapi hakikatnya mereka mahu hidup secara bebas, berseronok suka  dalam kancah dosa dan maksiat.
 
  Peranan Suami Didik Isteri
 
  Mana-mana pasangan yang boleh mengekalkan iman dan taqwa dan boleh  melaksanakan solat dengan sempurna, pasti suami dan isteri mampu berperanan  dalam rumah tangga seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Inilah  pasangan yang serasi malah boleh berkekalan sehingga ke dalam syurga.
 
  Suami dalam keadaan ini perlu berperanan sebagai pendidik selain memimpin  isteri ke jalan yang selamat. Maknanya pada malam pertama perkahwinan mereka,  suami perlu menjelaskan pantang larang yang perlu isteri taati. Dalam pada  itu kalau isteri tersalah dan tersilap, segeralah menegurnya dengan penuh  hikmah.
 
  Isteri juga perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi kehendak suami dan  meminta izin sebelum melakukan sesuatu pekerjaan yang luar jangkaan.  Peringatan ini penting dalam membina kehamonian rumah tangga. Semua ini akan  memudahkan suami memimpin isteri ke arah jalan yang bahagia.
 
  Manakala rumah tangga yang telah didapati tidak serasi perlulah menamatkan  sengketa itu dengan saling memaafkan kesalahan masing-masing. Percayalah  setelah kedudukan telah menjadi kosong-kosong, suami bolehlah membuat  penjenamaan baru dengan menyenaraikan garis panduan, pantang larang seperti  yang dinyatakan di atas.
 
  Ingatlah selagi mereka mampu mengikut garis panduan dan pantang larang yang  ditetapkan Allah dan Rasulullah, mereka akan terdorong ke arah hidup yang  bahagia selama-lamanya.

Note: kopipes dari cari.com sebagai renungan.

No comments: